Mencari teduhan jiwa di Oasis Ramadhan
“Tahniah!,” Seorang sahabat bersalaman sambil mengukirkan senyuman yang sangat menenangkan jiwa. Ungkapan tahniah diulangnya berkali-kali.
“ Kenapa?,” Soal saya kehairanan.
“ Tahniah, kerana diberikan peluang oleh Allah SWT untuk menjejaki kaki di Bulan Ramadhan pada tahun ini,” Katanya mudah membuatkan saya menyedari sesuatu.
Ya, Alhamdulillah. Kita semua sudah berada di dalam bulan Ramadhan. MasyaAllah. Pagi 1 Ramadhan yang lepas, saya diizinkan Allah SWT berada dalam bas bermusafir sepanjang siang hari tersebut. Itulah detik bermulanya Ramadhan saya. Berpuasa dalam keadaan musafir.
“ Redupnya suasana hari ini. Tenang dan damai,” Getus hati saya. Disepanjang perjalanan itu, terdengar suara timbul tenggalam, beberapa orang yang membaca Al-Quran. MasyaAllah. Ia adalah hari yang sangat menenangkan, damai lagi meneduhkan.
Berteduh setelah penat mengembara
Perjalanan kehidupan kita ini umpama seorang pengembara yang berjalan jauh merentasi padang kehidupan yang luas, panjang lagi berliku. Umpama berada ditengah-tengah padang pasir yang panas terik lagi membahangkan.
Ia juga boleh diibaratkan sebagai perjalanan pendakian menuju ke puncak sebuah gunung yang tinggi. Laluannya berbatu, berliku dan dipenuhi onak duri serta ranjau yang menyukarkan pendakian.
Ketika itu, kita dihampari dengan pelbagai kesukaran, kesusahan dan kepayahan hidup. Ada saatnya kita kelelahan, keletihan dan kepenatan. Kekadang keluhan dan sunggutan berzikir dibibir kita tanpa henti. Terasa begitu payah mendaki anak tangga kehidupan menuju ke puncak.
Terdetik dihati bahkan selalu bermain-main di minda dan jiwa kita :
“ Alangkah baiknya, sekiranya ada tempat untuk melepaskan lelah ini,”
Sanubari kecil kita yang dalam bermonolog. – Kita perlu tempat untuk berehat dan berteduh. Tempat yang akan melepaskan segala kelelahan yang ada. Ada orang menyebutnya oasis .
Ya, oasis. Tempat yang mempunyai pepohonan yang redup dan rimbun.
Ia mempunyai sumber air yang akan menghilangkan dahaga serta menyejuk tubuh badan yang kepanasan. Pancaran air yang akan membuat hati yang gersang menjadi tumbuh subur kegembiraan.
Ya, inilah tempat rehat dan rawat . Jika kita melalui lebuh raya, pasti di kawasan-kawasan tertentu ada perhentian RnR. Perhentian rehat dan rawat. Dan sebagai manusia yang normal, jika kepenatan dan keletihan kita akan berhenti di perhentian ini. Take rest!
Nah!
Begitu juga dengan kehidupan kita, dalam setahun yang ditempuhi – terdapat satu bulan yang berfungsi sebagai terminal rehat dan rawat. Bulan yang bertindak sebagai pusat persinggahan jiwa. Berperanan sebagai stesen untuk berteduh dan berehat buat jiwa-jiwa dan hati-hati kita semua setelah melalui pelbagai perasaan, pengalaman dan pergolakan jiwa yang dahsyat.
Sepanjang 11 bulan yang lalu – kita mengembara, berjalan, bermusafir, bertahan dan bertempur melalui segala bentuk rintangan kehidupan. 11 bulan yang diwarnai dengan pelbagai warna warni kehidupan. Dan tibalah suatu ketikanya, Allah SWT hadiahkan satu bulan yang akan memberikan teduhan perasaan dan kesejukan jiwa yang merehatkan.
Suatu hadiah yang mahal dan special daripada Allah SWT.
Inilah Ramadhan. Pusat “rehat dan rawatan” bagi kita semua. Segala kecederaan dan hirisan kelukaan di sepanjang penggembaraan akan dirawatkan di sini. Inilah perasaan seorang mukmin apabila menjejaki bulan Ramadhan, ia rasa benar-benar merasai nikmat keteduhan di bawah payungan kerahmatan Ramadhan.
Rehat & Rawat : Berteduh di bawah payungan Ramadhan
Apabila berada di dalam bulan Ramadhan, ada yang benar-benar “merasai” akan sesuatu dengan Ramadhan dan ada yang mengganggapnya biasa-biasa sahaja.
Baginya, Ramadhan seperti bulan-bulan yang lain.
Jika inilah yang kita rasai, amat malanglah kerana kita tidak benar-benar merasai keberadaan di bawah naungan keistimewaan Ramadhan.
Persoalannya, bagaimana ia boleh merehatkan dan meneduhkan jiwa serta perasaan kita?
Tentu ada cara dan perkara-perkara yang perlu kita lakukan ketika “singgah” di stesen Ramadhan ini. Ketika berteduh dibawah payungan Ramadhan, kita perlu melakukan sesuatu agar kita disimbahi ketenangan, ketenteraman dan kebahagian jiwa.
Rasailah kelazatan membaca Al-Quran
Dan, tahukah anda – keistimewaan Ramadhan yang meneduhkan ini ialah ia merupakan bulan Al-Quran. Sesiapa yang jiwanya akrab dengan Al-Quran nescaya jiwa-jiwa dan hati-hatinya sangat tenang dan damai. Inilah keistimewaan Al-Quran.
Al-Quran.
Sumber ketenangan jiwa.
Pancaran kebahagiaan buat nurani.
Sinaran cahaya yang menyinari sanubari.
Itulah Al-Quran.
Ia merupakan kalamullah yang akan memberikan ketenangan kepada jiwa. Ia membawa hati-hati manusia dekat dan hampir dengan Sang Kekasih agung iaitu Allah SWT.
Hubungan kita akan menjadi hidup dan segar apabila kita benar-benar akrab dan mesra dengan Al-Quran. Inilah kitab yang mempunyai pelbagai keajaiban dan kenikmatan yang memikat hati.
Bahkan, membaca Al-Quran akan diganjari dengan kebaikan dan pahala daripada Allah SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
“ Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya satu kebaikan. Dan setiap satu kebaikan akan dibalas dengan 10 kali ganda.” ( Riwayat al-Tirmizi)
Saidina Uthman bin Affan berkata : “ Kalau hati kita bersih, kita tidak akan pernah kenyang daripada Al-Quran. Aku tidak menyukai satu hari yang aku tidak membaca mashaf Al-Quran padanya.” ( Riwayat al-Baihaqi dalam Shu’ab al-Iman)
Namun, banyak persoalan-persoalan yang timbul difikiran kebanyakan kita. Kenapa kita tempuhi Ramadhan dengan jiwa yang tumpul perasaanya tanpa semangat dan keghairahan. Kita lalui dengan bermalas-malasan terutama malas untuk membaca Al-Quran.
Selalunya, Al-Quranlah yang begitu sukar untuk kita tatapnya saban waktu dan detik.Terasa berat dan kemalasan mulai berbenih di dalam diri sendiri. Timbul pelbagai rekaan-rekaan alasan berkiblatkan hawa nafsu.
“ Buat apa baca Al-Quran, tak faham langsung!”
“ Susahlah hendak sebut huruf-huruf Al-Quran ini,”
“ Buang masa sahaja baca, tak dapat apa-apa pun”
Banyak helah dan omong-omongan yang muncul dari kalangan kita. Agar Al-Quran tidak menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.
Jika inilah yang sedang menghinggapi kita saat ini, amat rugilah kita. Seharusnya, di bulan yang mulia inilah – kita semakin aktif dan cergas membaca dan mentadarus Al-Quran bersama rakan-rakan kita.
Jika kita malas dan menunda-nunda untuk menbaca Al-Quran itu satu alamat dan tanda. Apakah maksudnya?
Itu tanda kekerasan hati dan kesannya ialah kita akan ditimpa kesusahan di dunia, terhimpit dengan pelbagai masalah kehidupan dan diancam dengan azab di akhirat. Sebaliknya jika sentiasa akrab dengan Al-Quran, hati akan menjadi lembut dan jernih, fikiran menjadi cerdas, perasaan kian tenteram dan anggota badan menjadi cergas.
Hilanglah segala seri kenikmatan dalam menjalani amalan soleh di bulan Ramadhan ini jika hati kita sebegini. Marilah kita singkirkan dengan segera segala perasaan, tabiat dan sifat-sifat malas untuk membaca Al-Quran kepada suka, gemar dan cintakan Al-Quran.
Ramadhan : Gerakan mencintai Al-Quran
Syiar cintakan Al-Quran harus diperhebatkan. Biar ia bergema di sepanjang Bulan Ramadhan ini. Ajaklah adik-beradik, kaum kerabat, jiran tetangga dan kawan-kawan rapat untuk bertadarus Al-Quran beramai-ramai.
Masa lapang yang terluang, capailah Al-Quran dan terus menatap serta membacanya. Kuatkanlah lantunan bacaan Al-Quran agar ia mengesani jiwa-jiwa kita dan memberikan keinsafan apabila mentadabburnya. Al-Quran ia adalah rahmat dan penawar buat hati kita.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Dan kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
( Al-Isra : 82)
Semoga ruh Al-Quran benar-benar meneduhkan perasaan nurani dan jiwa kita di sepanjang musim “kerehatan” jiwa di bulan Ramadhan ini.
© Langitilahi.com
No comments:
Post a Comment