Monday, June 25, 2012

MANDI DALAM DUNIA



     Hidup ini ibarat mandi seketika. Mandi di pantai. Mandi di tepi laut. Dihantar ke dunia untuk memberi makan rohani kita. Begitu juga dengan mandi. Hanya untuk membersihkan diri sebentar. Atau ada yang ingin mandi selama-lamanya?
     “Best la mandi pantai ni. Tak nak naiklah. Bukannya selalu dapat mandi camni,” begitu?
     Jika begitu, tidak jauh bezalah dengan, “Best la hidup kat dunia ni.Hidup mewah. Seronok.Tak nak matilah. Bukannya selalu dapat hidup macam ni. Lagipun hidup kan cuma sekali. So, kita enjoy!” Bolehkah begitu?
     Tentu Allah akan cabut juga nyawa kita kan? Mestilah ibu kita panggil naik. Tak gitu?Fulan… Meh naik! Dah lewat ni. Nak mandi sampai bila ha? Nak duduk dengan hantu ke kat laut waktu-waktu maghrib ni?”
     Dan tentu sekali ada kalanya kita tenggelam. Lemas. Kerana tidak mampu mengatasi kedalaman laut tersebut. Tidak ada bezanya dengan dunia. Kita boleh lihat dan perhatikan keadaan sekeliling kita. Ramai yang lemas. Ramai yang tenggelam dalam kedalaman nikmat-nikmat dunia sehingga tidak mampu berenang ke tepian demi menyelamatkan nyawa. Tidak terkecuali juga kita. Hanya segelintir yang mampu berenang menyelamat hayatnya.
     Siapakah mereka yang terselamat itu?
     Pertama sekali, mesti ada ilmu. Baik menghadapi lautan dalam mahupun dunia alpa. Jika tiada ilmu, tidak mungkin seseorang itu tiba-tiba mampu berenang dengan baik ke tepian. Jika tiada ilmu juga, seseorang itu tidak mungkin terlepas daripada tipu daya dunia dan masuk ke syurga.
     Seterusnya, tenangkan diri. Adakah seseorang itu mampu berenang menyelamatkan diri dalam keadaan panik? Adakah seseorang itu terselamat dengan berenang tergesa-gesa? Mustahil! Begitulah kehidupan di dunia. Perlu berhenti seketika daripada kesibukkan dunia. Berfikir. Mencari kebenaran. Mendampingi ayat-ayat suci al-Quran.
     Bagaimana jika orang yang lemas itu tiada ilmu? Adakah patut kita tinggalkan dia begitu sahaja? Terus dalam kelemasan sehingga mati terseksa pula. Tidak! Manusia di sekeliling yang melihatnya perlu menyelamatkannya. Jangan biarkan orang yang tidak tahu terus tenggelam. Menjadi tanggungjawab kita sendiri untuk terjun ke dalam laut dan menarik mereka ke tepian. Ataupun mengirim bantuan melalui pasukan penyelamat. Asalkan tidak membiarkannya lemas tidak bernafas.
     Dunia juga tiada bezanya. Sebagai manusia berilmu, tidak boleh membiarkan umat terleka. Kewajipan kita menyelamatkan mereka. Mengadakan gerakan-gerakan menyelamat, ceramah-ceramah penghayatan, dan tidak terkecuali mendidik mereka ‘berenang’.
     Ayuh berfikir sejenak. Agak-agaknya, di tempat manakah kita? Adakah kita yang tenggelam lemas ataupun berehat di tepi pantai? Apakah tindakan kita melihatkan mereka yang terleka? Sudahkah kita melaksanakan tanggungjawab kita?

No comments: