Monday, August 1, 2016

Kisah Sang Kancil dengan Buaya

بسم الله الرحمن الرحيم


Sang Kancil yang bijak

Pada suatu hari, Sang Kancil berjalan-jalan di dalam hutan untuk mencari makanan. Setelah lama mencari makanan, Sang Kancil pun mula terasa dahaga lalu dia pergi ke tepi sungai untuk meneguk air.

Selepas minum, Sang Kancil berehat sebentar di bawah pokok berdekatan. Sedang matanya asyik memerhatikan sekeliling, dia terlihat akan pepohon buah-buahan yang rimbun merendang tidak jauh dari tempatnya berehat.

Malangnya buah-buahan tersebut terletak di seberang sungai yang sangat deras. Tanpa membuang masa, Sang Kancil segera memerah otaknya, menggali idea.

Buaya dipergunakan

Sang Kancil yang bijak pun terfikirkan satu rancangan yang hebat. Serta-merta dia memanggil Sang Buaya di dalam sungai, "Buaya, ooh Buaya!" Jerit Sang Kancil.

Sang Buaya yang mendengar namanya dipanggil mula timbul ke permukaan, "ha Sang Kancil, ada apa kau jerit nama aku? Aku makan kau baru tahu!" Gertak Sang Buaya.

"Aku ada berita penting ni. Raja Sulaiman titahkan aku untuk jemput kamu semua ke jamuan Hari Raya baginda. Raja ada pesan suruh kira bilangan kamu semua," Sang Kancil berhelah.

Sebaik sahaja Sang Buaya dengar berita tersebut, dia terus memanggil buaya-buaya yang lain keluar. "Ha, kiralah cepat Kancil. Kami dah lapar ni!" Sang Buaya sudah tidak sabar.

"Sabar.. Sabar.. Kamu semua beratur dahulu hingga ke hujung sana. Mudah untuk aku kira," jawab Sang Kancil mengawal keadaan.

Tanpa berlengah, semua buaya itu beratur mengikut arahan Sang Kancil sebentar tadi. Sang Kancil mula mengira satu persatu. "Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk," Sang Kancil mengira sambil mengetuk kepala buaya-buaya menyeberangi sungai itu. 

Buah-buahan yang diidamkan

"Baiklah, kamu semua boleh balik. Baru saya teringat, Raja Sulaiman tak jadi buat Rumah Terbuka tahun ni. Tunggulah tahun depan ya! Hahaha," kata Sang Kancil mentertawakan mereka.

Mendengar kata-kata Sang Kancil, semua buaya berasa marah dan malu kerana mereka telah tertipu oleh Sang Kancil.

Kesimpulan: Ilmu & hikmah, jambatan natijah

Ilmu & hikmah yang Sang Kancil miliki, akhirnya dapat membantunya untuk mencapai sesuatu yang dia hajatkan. Kuncinya adalah dengan menggunakan alat pada tempat & ketika, kena dengan caranya yang akhirnya menatijahkan buah seperti mana yang mahu dicapai.

Belajar daripada cerita rakyat,
belajar daripada Sang Kancil!

Semoga bermanfaat.

No comments: