Thursday, August 11, 2016

Budak 'diam' bagus vs Budak 'bising' tak baik

Beberapa hari yang lalu, saya mengikuti satu seminar teknik untuk bercakap dan berbahasa Inggeris dengan baik, anjuran Fasih Berbahasa Inggeris.

Antara teknik yang dikongsikan oleh Coach Ridz adalah dengan 'mengeluarkan semula' sifat kanak-kanak yang ada dalam diri kita. Kenapa kanak-kanak? Apa yang istimewanya dengan sifat mereka?

Kanak-kanak cepat belajar. Kata Coach, mereka sebenarnya tangkap ataupun catch bahasa persekitaran mereka. Perbuatan inilah yang membuatkan mereka cepat faham bahasa seharian kita.

Selain itu, kanak-kanak ada satu lagi sifat yang sangat menarik. Mereka suka bertanya! Mereka akan terus bertanya tanpa segan silu. Nampak itu, "Apa tu ibu?" Nampak ini, "Apa ni ayah?" Sifat 'selamba' atau tidak malu inilah yang mempercepatkan lagi proses pembelajaran kanak-kanak.

Apa yang membuka minda saya dalam seminar tersebut adalah apabila Coach menyebut tentang perubahan sifat kanak-kanak, khususnya di Malaysia, yang semakin lama semakin pasif.

Bermula seawal di rumah lagi, kanak-kanak suka bertanya kepada ibu dan bapa mereka. Malangnya, terdapat segelintir ibu bapa yang tidak berminat untuk jawab soalan-soalan mereka. Rimas. Tidak ada rasa perlu untuk jawab mahupun layan 'soalan budak-budak'. Ada pula sebahagian ibu bapa yang memarahi anak mereka yang terlalu banyak bertanya, akhirnya menyebabkan kanak-kanak sudah tidak lagi bertanya. Mereka buang rasa ingin tahu. Mereka anggap, jika bertanya, akan dimarahi. Maka lebih baik jangan bertanya.

Perkara ini terus berlanjutan hingga ke sekolah. Murid-murid sekelas, mengajukan soalan bertubi-tubi kepada guru seorang. Amat menyedihkan apabila guru mengambil jalan mudah dengan memilih untuk tidak menjawab. Murid yang banyak bercakap, suka berkongsi idea, dilabel budak bising.

"Kamu ni nakal betul ya! Cuba senyap sikit. Jadi macam yang lain tu, baik je, senyap tak banyak cakap macam kamu."

Akhirnya mereka anggap, budak 'bising' = nakal, jahat. Budak senyap = baik. 

Lain pula ceritanya di peringkat pengajian tinggi. Di saat pelajar-pelajar yang bising mula berdiam diri, tidak lagi eager untuk berkongsi pendapat, senarionya pun mula berubah. Pensyarah hairan pelajarnya tidak ghairah. Dibuka ruang soalan, dibalas hanya dengan pandangan.

Aneh. Pelajar-pelajar hanya tahu angguk sahaja? Hendak bertanya, malu pula rasanya. Ada yang berani, dianggap 'luar dari biasa'.


Ubah! Ubah layanan kita kepada kanak-kanak ini. Jawablah soalan mereka dengan jawapan berisi. Kita yang sudah meningkat dewasa? Keluarkan kanak-kanak yang berada dalam diri kita. Ajukan soalan. Aktifkan kelakukan. Beranikan diri.

Be like a children again!

No comments: