Assalamu'alaikum.. hari ni terasa nk update pulak blog ni.. pasal smlm ada org suruh.. so, aku nk kongsi sikit cerita yg aku pernah dengar dari orang lain. tapi ni aku taip guna ayat yg aku faham dan upgrade sikit-sikit. semoga bermanfaat buat kita semua.. ^^
Seorang hartawan mempunyai sebuah rumah mewah yang sangat besar dan sebuah kebun yang mempunyai pelbagai jenis tanaman buah-buahan bersebelahan dengan rumahnya itu.
Untuk menjaga rumah dan kebunnya itu, hartawan tersebut mengupah seorang pekerja dan telah mengarahkan pekerjanya itu melakukan 5 tugasan sepanjang tempoh pekerjaannya.
5 tugasan tersebut ialah menjaga rumah, kebun, kereta, pintu gerbang rumah itu dan hasil tanaman hartawan tersebut.
Setiap hari, pekerja itu melakukan tugasnya dengan baik sekali.
Dipendekkan cerita, suatu hari anak hartawan tersebut yang masih kecil keluar bermain-main di dalam kawasan kebun itu.
Dalam kawasan kebun itu terdapat beberapa lubang yang tidak tertutup. Ada yang dalam dan ada yang tidak dalam.
Sedang anak kecil itu berlari-lari, tiba-tiba dia terjatuh ke dalam sebuah lubang yang dalam.
Pekerja yang diupah hartawan itu hanya memerhatikan sahaja apa yang berlaku tanpa melakukan apa-apa.
Sebaik sahaja hartawan itu pulang ke rumah, dia tercari-cari anak kecilnya. "Wahai pekerjaku, adakah engkau melihat anakku?"
tanya hartawan itu kerisauan. "Ya tuan. Saya lihat anak tuan terjatuh ke dalam lubang yang dalam itu,"
jawab si pekerja sambil tangannya menunjuk ke arah lubang yang dimaksudkannya.
Hartawan itu lantas berlari ke arah lubang tersebut. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat keadaan anaknya yang telah mati.
"Kenapa engkau tidak menyelamatkan anakku daripada jatuh ke lubang itu?!" Tanya hartawan itu dengan marah.
"Maaf tuan. Itu bukan tugas saya. Tugas saya hanyalah lima. Iaitu menjaga rumah tuan, kebun tuan, kereta tuan, pintu gerbang rumah tuan
dan hasil tanaman tuan sahaja. Saya lakukan tugas saya dengan baik sekali tanpa cacat cela tuan," jawab si pekerja dengan yakin.
. . . . . . . . . .
Bagaimanakah kesudahan cerita di atas?
Agaknya apakah reaksi hartawan itu?
Adakah dia menerima alasan atau jawapan pekerjanya itu tanpa sebarang tindakan?
Cuba anda fikirkan sendiri.
. . . . . . . . . .
Hakikatnya beginilah situasi manusia zaman digitalisasi ini. Apa kaitannya? Apa kaitan umat Islam kini dengan cerita di atas?
Baiklah, kita sebagai umat Islam ada 5 tugas khusus yang perlu kita selesaikan dengan sempurna. Apakah tugas itu?
Ya, 5 rukun Islam.
Mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu sehari semalam, berpuasa dalam bulan Ramadan, menunaikan zakat dan menunaikan haji di Makkah bagi yang mampu.
Bayangkan kawan-kawan dan saudara-mara kita di luar sana. Ramai yang sudah 'terjatuh' ke lubang-lubang dosa sama ada kecil ataupun besar.
Malangnya kita sekadar melihat mereka dan membiarkan sahaja mereka jatuh tanpa mengambil sebarang tindakan.
Bagaimana keadaan di akhirat kelak? Apa yang mahu kita jawab jika Allah tanya, "mengapa kau tidak selamatkan mereka?"
"Aku sudah menjalankan 5 tugas aku dengan sempurna."
Adakah semudah itu jawapan kita?
Adakah Allah akan terima jawapan sebegitu?
Mustahil.
Bagaimana dengan perintah Allah yang lain?
Berdakwah, memuliakan jiran dan tetamu, menghormati guru dan ibu bapa dan banyak lagi.
Bagaimana pula dengan larangan-Nya?
Mendekati zina, menabur fitnah, mengumpat, berbohong dan pelbagai lagi larangan-Nya.
Fikirkanlah.
Mari muhasabah untuk berubah dengan HIJRAH! ^^
No comments:
Post a Comment