Wednesday, October 26, 2016

A good leader is a good follower

Pada hari Rabu yang lalu, saya telah dijemput untuk menghadiri satu majlis ilmu yang disampaikan oleh Habib Nael, bertajuk 'Injeksi Hati Buat Da'ie'.

Habib Nael memulakan bicara ilmu tersebut dengan mengajak para hadirin untuk kembali pada tujuan asal manusia itu diciptakan di atas muka bumi ini, iaitu sebagai Khalifah dan untuk beribadah kepada Allah SWT semata-mata.


Firman Allah SWT,

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ 

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".

(Al-Baqarah 2:30)



وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

(Az-Dzaariyaat 51:56)


Khalifah. Hamba.

Dua peranan dalam satu masa. Seseorang itu merupakan seorang ketua, dalam masa yang sama memainkan peranan sebagai seorang hamba. Inilah sepatutnya yang perlu kita laksanakan dalam menjalani kehidupan kita. Malangnya sebahagian daripada kita manusia, sering kali melupakan satu daripada dua peranan tersebut.

Saya sangat tertarik dengan pandangan Ust. Solhi apabila saya bertanyakan soalan kepada beliau tentang interest beliau dalam bidang psikologi. Katanya, beliau berminat untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang konsep 'followership' kerana kata beliau, sudah ramai yang sedar akan kepentingan leadership, pentingnya kepimpinan sebagai seorang Khalifah. Namun begitu, masih ramai yang terelepas pandang akan kepentingan konsep pengikut. Sedangkan kita diciptakan di dunia ini bukan sahaja untuk memimpin, bahkan menjadi hamba yang taat setia kepada Allah, Tuhan sekalian alam.

Jadi kita dapat lihat, ada kesinambungannya, ada perkaitannya antara satu sama lain di mana seorang Khalifah juga seorang Abid, dan seorang hamba juga seorang ketua. Rasulullah SAW pernah menyebut tentang tanggungjawab 'memimpin' ini dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Ibnu Umar.


Baginda bersabda:

أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

"Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin manusia akan bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab atas kepemimpinannya."


Awasilah diri kita daripada mengabaikan salah satu daripada peranan tersebut, sama ada pemimpin mahupun hamba. Lihat sahaja kesan buruk apabila salah satu daripada peranan tersebut diabaikan.

Akibatnya, seorang ketua yang  tiada rasa perhambaan kepada Tuhan dalam dirinya, menjadi seorang pemimpin yang angguh dan sombong! Tidak taat kepada Tuhan, bahkan berani mengangkat dirinya sendiri sebagai Tuhan.

Sejarah menjadi saksi dalam membentangkan kesan dan akibat ini. Nama-nama terkenal seperti Firaun, Raja Namrud dan Abu Jahal, sangat sinonim dengan perbuatan-perbuatan zalim mereka oleh kerana tiada keseimbangan antara leadership dan followership. Menjadi pemimpin dengan mengenepikan diri sebagai hamba kepada Allah SWT.

Akhir kata, ambillah pengajaran daripada orang-orang terdahulu. Rujuk lembaran sejarah dan sirah Nabi. Ikut jejak yang baik, jauhi langkah yang buruk.

Semoga kita semua menjadi pemimpin yang baik yang Nabi janjikan akan mendapat naungan 'Arasy Allah kelak, dalam masa yang sama menjadi hamba Allah yang taat setia tanpa berbelah bagi.
Ameen.

No comments: