Thursday, December 22, 2016

Burger dan nasihat

Pada Jumaat yang lalu, aku seperti biasa pergi mengajar kelas tadabbur al-Quran di kedai dobi, Laundry Zone, di Melati Square.

Pada kelas kali ini, kami sama-sama mentadabbur muka surat kelima (rasm Usmani) bermula dengan ayat 25 surah al-Baqarah.


Firman Allah SWT:

وَبَشِّرِ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۖ كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِنْ ثَمَرَةٍ رِزْقًا ۙ قَالُوا هَٰذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِنْ قَبْلُ ۖ وَأُتُوا بِهِ مُتَشَابِهًا ۖ وَلَهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ ۖ وَهُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.

(Surah al-Baqarah 2: 25)


Pada ayat ini, Allah SWT mengkhabarkan berita gembira kepada orang-orang beriman dan beramal soleh dengan cerita tentang nikmat abadi, nikmat syurga. Allah SWT memberi galakan sesudah sebelum ini memberi ancaman azab-azab yang keras kepada sesiapa yang ingkar seperti golongan kafir dan munafik.

Pada ayat sebelum itu juga, Allah SWT terlebih dahulu memulakan surah al-Baqarah dengan sifat-sifat orang muttaqin disertakan dengan kurniakan hidayah dan petunjuk bagi mereka.

Maka, dapat kita perhatikan 'teknik menegur' yang digunakan Allah SWT dalam menasihati golongan yang ingkar dan memberi pengajaran kepada kita semua.

Selesai ayat tersebut kami teliti, Tuan Zaim Zin memberikan kami semua satu analogi yang menarik!

Teknik menegur yang Allah SWT gunakan tersebut sangat-sangat hebat. Tuan Zaim umpamakan teknik ini seperti burger .

Kita perhatikan burger yang secara asasnya disusun kemas bermula dengan roti lembut di bawah. Kemudian diletakkan daging di tengahnya dan akhir sekali ditutup dengan satu lagi roti yang lembut.

"Dalam lapisan roti ni, part mana yang kita nak sebenarnya?" Tanya Tuan Zaim kepada semua hadirin.

Katanya, bahagian yang kita paling mahu adalah bahagian daging yang sedikit keras itu. Roti yang di atas dan bawah hanyalah melengkapkan burger tersebut menjadi satu set burger yang lazat!

Begitu juga dengan set nasihat yang diaplikasikan di dalam al-Quran. Roti yang lembut di awal dan akhir, ibarat kata-kata pujian yang melembutkan hati-hati kita. Manakala daging yang sedikit keras di tengah diumpamakan sebagai teguran dan ancaman.

Fokus utama nasihat tersebut adalah teguran yang diposisikan di tengah. Bayangkan jika teguran itu tidak didahulukan dengan kata pujian. Sudah tentu semua teguran terasa seperti kejian dan cacian! Samalah juga kalau teguran tersebut tidak disusuli dengan pujukan dan tawaran nikmat, nescaya mereka yang ditegur itu akan terasa sakit hatinya, semakin enggan menerimanya, semakin keras menolaknya.

Kesimpulannya, sahabat pembaca sekalian,  nak tegur sahabat kita yang lain? Mulakan dengan pujian, selitkan teguran dan akhiri dengan pujukan.

Semoga hati-hati kita mengambil pengajaran.

No comments: